am@hmetro.com.my
KUMPULAN yang meningkat naik, Pop Shuvit, semakin mengembangkan sayapnya dalam persada seni tanah air mahupun antarabangsa. Pengalaman ‘berguru’ bersama My Chemical Romance (MCR) dan The All American Reject (AAR) sebelum ini membawa mereka selangkah ke hadapan berbanding kumpulan lain.
Undangan ini dilihat sebagai batu loncatan Pop Shuvit dalam menggapai sasaran mereka untuk berada dalam senarai Anugerah Grammy. Kemunculan mereka dalam festival yang diadakan kali ke-22 ini dilihat sebagai kebangkitan kumpulan muzik dari negara kita.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 ini dianggotai oleh Moots selaku vokalis, JD Wong (gitar), AJ (bass), Rudy (dram) dan Uno (turntables) dikhabarkan masih membuat persediaan untuk festival yang akan diadakan di Texas itu. Festival yang mempunyai 80 pentas ini membariskan nama besar industri muzik antarabangsa seperti Linkin Park dan ramai lagi. Oleh itu, Pop Shuvit menjanjikan yang terbaik dalam kemunculan sulung mereka di festival itu.
Menurut AJ atau nama sebenarnya Nazrin Mohd Nasir, 33, Pop Shuvit akan berusaha memberikan yang terbaik kerana mereka bukan saja membawa nama kumpulan mereka, tetapi juga Malaysia.
“Kami teruja dalam penampilan sulung di SXSW. Ini pencapaian terbesar Pop Shuvit sebagai penyanyi. Setakat ini, segala persiapan berjalan lancar kecuali masalah pengangkutan. Sekiranya ada aman-mana pihak yang ingin membantu, kami sangat menghargainya,” katanya.
Bercerita mengenai penampilan mereka dalam SXSW, pada awalnya Pop Shuvit menyerahkan profil kumpulan dan lagu untuk dinilai tiga panel khas yang dilantik pihak penganjur. Akhirnya mereka diterima menyertai festival itu.
“Kami menerima tawaran menyertai SXSW pada penghujung tahun lalu. Sebelum berlangsung konsert Rock The World 9. Sebaik mendapat khabar begitu, kami teruja dan terkejut kerana kami adalah antara kumpulan dari Asia yang pernah dijemput serta pertama dari Malaysia.
Selain festival muzik, SXSW turut mengadakan tayangan filem indie, animasi dan bual bicara mengenai muzik,” katanya.
Pop Shuvit akan persembahkan empat lagu seperti Oh Shizuka, Old School Rocka, Marabahaya dan Wannabe di festival itu. SXSW diadakan selama 4 hari berturut-turut iaitu dari 17 hingga 31 Mac ini dimana ia turut dihadiri pencari bakat baru industri muzik antarabangsa. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, mungkin mereka akan menerima tawaran dari syarikat muzik luar negara andai mampu memberikan persembahan terbaik di SXSW.
Menurut pemain turntables Pop Shuvit, Uno atau nama sebenarnya Syazleey Zalsyam Zakaria, 30, mereka akan tampil dengan lagu berbahasa Melayu kerana bagi mereka muzik adalah universal. “Sesiapa saja boleh dengar dan meminati sesebuah lagu walaupun tanpa memahami makna lirik lagu. Sebagai contoh, kami mendapat sokongan dari peminat di sana walaupun lagu yang dipersembahkan adalah lagu Melayu,” katanya.
Selain menyertai festival itu, Pop Shivit turut mendapat undangan persembahan di Amerika dan Eropah serta Asia. Namun, keutamaan lebih kepada Asia kerana mereka ingin menguasai pasarannya Asia terlebih dulu. “Kami bermula dari bawah dan perlahan-lahan berkembang ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Oleh kerana sambutan yang menggalakkan diterima, kami mengorak langkah ke pasaran Asia.
“Kami cuba menguasai pasaran Asia Tenggara supaya orang ramai mengenali kami dan seterusnya ke Asia seperti China dan Jepun. Lebih baik jika kita melangkah setapak demi setapak dari terus maju ke hadapan dan tersungkur di tengah jalan, katanya.


Recent Comments